Kerajaan Malaysia, sejak beberapa dekad yang lalu, telah mengiktiraf kepentingan penyusuan susu ibu dan pemakanan bayi. Dasar Penyusuan Susu Ibu Kebangsaan telah dirumus pada tahun 1993. Ianya telah dikaji semula pada tahun 2005 selari dengan Resolusi Perhimpunan Kesihatan Sedunia 54.2 (2001) di mana penyusuan susu ibu secara eksklusif disyorkan bagi enam bulan pertama kelahiran dan diteruskan sehingga dua tahun. Makanan pelengkap harus dimulakan pada umur enam bulan.
Pemakanan yang mencukupi adalah kritikal bagi kesihatan dan perkembangan kanak-kanak. Tempoh dari lahir sehingga dua tahun adalah penting memandangkan dalam tempoh ini, pertumbuhan dan perkembangan otak sedang berlaku. Amalan pemakanan yang tidak sempurna ditambah dengan kadar jangkitan penyakit yang tinggi adalah penyebab utama kekurangan zat makanan di kalangan kanak-kanak dalam lingkungan dua tahun pertama.
Atas sebab tersebut, adalah penting untuk memastikan ibu bapa dan penjaga diberi panduan yang lengkap mengenai pemberian makanan kepada bayi dan kanak-kanak. Adalah diharapkan dengan adanya Garis Panduan Pemberian Makanan Bayi dan Kanak-Kanak ini, anak-anak Malaysia akan mendapat pemakanan yang sempurna dan seterusnya dapat mencapai sepenuhnya potensi genetik mereka.
Akhir sekali, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Kumpulan Kerja Teknikal Pemakanan Bayi dan Kanak-Kanak serta semua individu dan agensi yang telah menyumbang kepada pembentukan Garis Panduan ini.
Klik ini untuk capaian: GPBaby