FITOSTEROL

FITOSTEROL

Apakah itu Fitosterol?

 

Fitosterol adalah terdiri daripada sterol atau stanol yang terdapat di dalam semua tumbuhan secara semula jadi. Ianya boleh didapati di dalam minyak sayur-sayuran seperti minyak soya, canola dan jagung dan juga hadir dalam kekacang, bijian dan bijirin tetapi dalam kuantiti yang kecil.

 

Apakah manfaat daripada pengambilan  Fitosterol?

Lebih daripada 20 kajian saintifik telah menunjukkan bahawa pengambilan Fitosterol boleh menurunkan tahap LDL-kolesterol dengan efektif.

Kajian menunjukkan bahawa pengambilan sebanyak 2 gram Fitosterol menurunkan sebanyak 5-10%  tahap LDL-kolesterol dan dalam beberapa minggu sahaja.

Menurut kajian Thomsen et al (2004); sejumlah 138 pesakit yang mempunyai kandungan tinggi kolesterol di dalam darah, telah mengambil susu rendah lemak yang mengandungi 1.2 gram dan 1.6 gram Fitosterol untuk empat (4) minggu. Mereka didapati berjaya menurunkan tahap LDL kolesterol mereka sebanyak 7-9%.

 

Bagaimana Fitosterol bertindak dalam badan kita?

Fitosterol mempunyai struktur dan tindakan yang hampir sama dengan kolesterol. Justeru itu, Fitosterol didapati berhasil mengurangkan penyerapan kolesterol di dalam usus kita dan meningkatkan perkumuhan dari badan kita. Dengan itulah, Fitosterol dapat mengurangkan tahap jumlah kolesterol dan LDL-kolesterol.

 

Adakah Fitosterol selamat?

Secara amnya, Fitosterol adalah selamat untuk pengambilan kerana banyak kajian saintifik telah dilakukan ke atasnya dan telah diluluskan untuk penggunaan dalam makanan.

Walaubagaimanapun, ada satu kerisauan dengan penggunaan Fitosterol iaitu ianya mungkin akan mengurangkan penyerapan vitamin-vitamin yang larut dalam lemak terutama beta-karotene yang penting untuk penghasilan vitamin A.

Namun begitu, kita boleh mengatasinya dengan pengambilan diet seimbang yang kaya dengan sayur-sayuran dan juga buah-buahan.

Fitosterol secara amnya tidak digalakkan untuk kanak-kanak dan juga wanita yang hamil atau yang sedang menyusukan bayi.

 

Apakah sumber makanan yang kaya dengan Fitosterol?

Walaupun Fitosterol terdapat secara semulaja di dalam makanan, ianya adalah agak mustahil untuk mendapatkan kuantiti yang mencukupi untuk mengurangkan kolesterol daripada makanan yang kita ambil seharian.

Fitosterol biasanya telah ditambahkan ke dalam pelbagai bahan makanan termasuklah susu (yang diperkaya) termasuk di Malaysia. Kebanyakan pihak berkuasa kesihatan menyarankan pengambilan Fitosterol sebanyak 2-3 gram sehari daripada pelbagai makanan yang telah diperkayakan untuk menurunkan tahap kolesterol dalam darah.

 

 

Disediakan oleh:

Eliza Wong Yen Sim

Pegawai Dietetik Hospital Sultan Ismail

 

Sumber:

Kementerian Kesihatan Malaysia

Malaysian Dietitians’ Association

Close Menu