Air mata Permaisuri Johor menitis di HSI

Category: News

Lawatan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah ke Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru semalam membawa rasa sebak dan pilu tersendiri kepada beliau.

Bersama menantu perempuannya Raja Zarith Sofiah lawatan itu dibuat untuk melihat sendiri keadaan pesakit yang dipindahkan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) akibat kebakaran pada 25 Oktober lalu.

Seramai enam orang terkorban dalam tragedi itu dan beberapa yang lain – termasuk kakitangan cedera.

Lawatan berkenaan mengingatkan Raja Zarith Sofiah kepada detik sedih dalam hidupnya apabila kehilangan anak tersayang, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim pada 5 Disember tahun lalu.

Pengalaman itu dikongsi permaisuri Johor itu dalam Facebooknya pagi ini:

Pagi semalam saya bersama menantu perempuan saya ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk melawat dua jururawat yang cedera ketika kebakaran di HSA. Di sana juga ada penuntut fisioterapi ditempatkan. Dia juga ada dalam unit rawatan rapi HSA ketika kebakaran berlaku di sana.

Apabila saya nampak ibu salah seorang jururawat itu, saya terpaksa menahan air mata, sebaliknya tersenyum. Saya teringat bagaimana perasaan melihat almarhum anak saya dalam kesakitan dan betapa tidak berdayanya saya ketika itu.

Kebakaran di HSA dan kehilangan nyawa mengingatkan saya betapa rapuhnya hidup, dan bagaimana hidup kita boleh berubah dalam tempoh beberapa minit.

Saya harap keluarga yang kehilangan orang tersayang tahu bahawa kami berkongsi kesedihan mereka kerana kami memahami kepiluan dan kehilangan itu. Masih belum setahun sejak kami kehilangan Jalil.

Selepas melihat jururawat di HSI saya berasa sangat ingin bersama-sama dengan anak-anak, cuma mahu melihat dan menyentuh mereka, dan memastikan mereka sihat sejahtera. Justeru semalam saya menikmati makan tengah hari lewat dengan anak perempuan saya di Singapura. Anak lelaki saya, Idris, menyertai kami kemudian.

Kami tidak memandu ke Singapura bersama-sama, tetapi bukan secara kebetulan kedua-dua kami menggunakan kereta Jalil. Kami teringat kepadanya. Dia tidak lagi bersama kami, maka tinggalannyalah yang ada pada kami.

Semasa makan tengah hari anak perempuan saya memberitaju dia termimpikan Jalil malam sebelumnya, dan apabila terjaga, bantalnya basah dengan air mata.

Kebakaran di HSA, pesakit yang terkorban dan keluarga yang menangisi kehilangan itu – semuanya mengembalikan memori kami ketika melawat Jalil di HSA serta detik-detik akhir dia di sana.

Selepas memaklumkan anak perempuan saya bahawa saya meminta dibawa menaiki Range Rover milik Jalil, kami meneruskan perbualan mengenai hal-hal kepunyaan dan disayanginya.

“Adakah ibu tahu dia ada sebuah kereta dengan plat JLP1? Dan adakah ibu tahu apa maksud huruf-huruf itu?” tanya anak perempuan saya.

“Plat itu sangat bermakna kepada Lil (Jalil) sebab padanya JLP itu bermaksud Jalil Lilliput,” sambungnya.

Saya hampir tersedak ketika meminum kopi kerana ketika Jalil masih kecil, saya sering memanggilnya “Lil Lilliput” sebab saya teringat nama “Lilliput” dari buku Gulliver’s Travels.

Walaupun selepas mereka dewasa saya sesekali dengan anak-anak saya yang lain memanggil dia “Lilliput”. Saya tak pernah pasti sama ada dia suka saya memanggilnya “Lilliput”. Saya pernah terfikir dia cuma tak mahu melukakan perasaan saya, maka dia tidak memberitahu sama ada dia senang dengan panggilan itu atau tidak.

Tetapi saya salah. Dia sebenarnya suka dengan gelaran saya berikan ketika dia masih kanak-kanak itu dan plat kereta itu membuktikannya.

Kemudian pada malamnya ketika saya duduk di sejadah, saya terkenangkan semua yang berlaku, dan apa dimaklumkan doktor mengenai kebakaran di HSA.

Saya terkenangkan pesakit-pesakit ICU.

Saya terkenangkan ibu bapa dan keluarga mereka yang bersedih.

Saya terkenangkan Jalil.

Saya terkenang tentang berapa kali saya pernah menulis “Lilliput” pada kad hari lahirnya.

Dan air mata menitis.

Saya mengangkat tangan dan berdoa untuk mengharapkan belas kasihan dan petunjuk Allah, dan saya memohon Dia menganugerahkan semua keluarga, doktor, jururawat, anggota bomba, polis dan seluruh kita akan kekuatan dan kesabaran meneruskan hidup.

Saya dan keluarga akan terus memberi sokongan kepada sesiapa yang terlibat dalam tragedi ini. Kami sudah berbincang mengenai bagaimana untuk cuba mendapatkan sumbangan bagi peralatan perubatan yang diperlukan hospital itu. Kita menghadapi ini bersama-sama. Muafakat Johor.

(sumber: October 27, 2016 | By