HOSPITAL MESRA IBADAH

Hospital Mesra Ibadah (HMI) merupakan program di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merupakan satu konsep yang digunakan dalam pengurusan hospital untuk mencapai nilai-nilai kecemerlangan dan jati diri pada kakitangan hospital serta memfokuskan kepada kesejahteraan pelanggan melalui penerapan dan penghayatan ibadah semasa dan selepas mendapat rawatan. Hospital Mesra Ibadah bertujuan untuk memberi kesedaran melalui pendidikan pesakit dan keluarga supaya sentiasa mendekatkan diri dengan Allah S.W.T. Program ini mula dilancarkan di Hospital Serdang pada tahun 2014. Hospital Mesra Ibadah selepas ini disebut HMI yang mana menekankan konsep sakit bukan alasan dan halangan di dalam membuat kerja-kerja bersangkutan dengan ibadah. Begitu juga dengan perkara-perkara yang memerlukan pandangan Islam di dalam isu fiqh perubatan kontemporari yang berkaitan dengan bioteknologi perubatan seperti euthanasia, menderma atau menerima organ dan sumber ubat yang dihasilkan daripada  porcine (babi) dan sebagainya.

 

            “Maka bertakwalah kepada Allah dengan kadar kemampuan kamu”  (al-Taghabun:16)

Firman di atas membuktikan  bahawa ibadah wajib  dilakukan walaupun dalam keadaan sukar, contohnya semasa menerima rawatan.  Walaupun begitu, ibadahnya dilonggarkan mengikut kemampuan seseorang itu.  Dalam konteks ini, kakitangan hospital khususnya perawat perubatan muslim perlu memikul tanggungjawab dalam memastikan pesakit muslim menerima bimbingan yang betul untuk melakukan ibadah dan amalan keagamaan.  Panduan beribadah ketika sakit didedahkan dengan sempurna dan pada masa yang sama bertindak sebagai kaunselor dan sahabat kepada pesakit dan ahli keluarganya.  Maka, pengetahuan asas dalam panduan beribadah ini perlu diberi perhatian yang serius oleh setiap perawat perubatan muslim.

VISI

Berusaha  mengintegrasikan rawatan fizikal, psikiologi, mental dan rohani

MISI

Mewujudkan sebuah institusi mesra ibadah yang menjadi mercutanda dalam perkhidmatan kesihatan.

MATLAMAT

Membudayakan amalan kerohanian di dalam tugas harian (mencapai mardhatillah).

OBJEKTIF

  1. Memastikan pesakit dan keluarga menerima bimbingan kerohanian.
  2. Melahirkan anggota yang mempunyai semangat kerohanian yang tinggi demi untuk membimbing (melahirkan profesional muslim yang membudayakan elemen spiritual dalam tugas harian) (melahirkan professional muslim yang boleh membimbing pesakit serta keluarga pesakit).
  3. Pesakit dan staff dapat mengamalkan (memudahkan pesakit dan anggota melaksanakan ibadah harian).

ELEMEN HMI

Satu konsep telah diperkenalkan iaitu Hospital Mesra Ibadah.  Antara elemen-elemen penting yang perlu ada pada HMI :

    1. Pengamal Perubatan
    2. Latihan–latihan
    3. Persekitaran
    4. Perkakasan/Peralatan untuk membantu pesakit beribadah
    5. Hak Pesakit dan Persendirian (sulit)

Pentadbiran dan Pengamal Perubatan yang juga merupakan asas terpenting dalam melakukan perubahan daripada konsep yang sedia ada kepada konsep HMI.  Usaha-usaha yang perlu dilakukan melalui elemen ini hendaklah dimantapkan dengan aktiviti yang bersepadu dan sentiasa berkekalan kepada seluruh peringkat organisasi sehinggalah kepada pesakit.  Faktor dalam menjayakan HMI perlu difokuskan kepada perubahan yang dilakukan ke atas setiap lapisan pekerja.  Perubahan ini hendaklah dilakukan secara menyeluruh dengan unsur-unsur keimanan, amalan, pemikiran dan kebersihan hati setiap pekerja yang mengamalkan konsep HMI.

Latihan yang berterusan oleh pengamal perubatan muslim seperti konvensyen kebangsaan HMI dan seminar/latihan dalaman dan luaran yang meletakkan pengisian rohani sebagai teras.

Menekankan amalan-amalan yang perlu dijadikan rutin oleh pengamal perubatan seperti pengisian kerohanian, salam, selawat, doa, ceramah, tazkirah, poster, risalah dan jadual waktu pesakit semasa menerima rawatan yang membolehkan pesakit melakukan ibadah seperti contoh solat berjemaah bersama ahli kaluarga (jika mampu). Mewujudkan persekitaran dan suasana HMI di dalam institusi perubatan.  Solat fardhu dilakukan secara berjemaah bersama-sama dengan pesakit disamping kemudahan bilik solat/ruang solat di wad atau berhampiran, bauan aromaterapi, radio bacaan al-quran, hiasan dan poster serta ketersediaan risalah doa, hadith dan Al-Quran di setiap katil pesakit.

Peralatan.  Tikar solat, arah kiblat, debu tayammum, botol semburan (spray), kain dan telekung serta alat bantuan yang kreatif untuk membantu pesakit melakukan ibadah disediakan dengan mencukupi dan berfungsi dengan baik.

Kemudahan HMI termasuklah mewujudkan Unit Hal Ehwal Islam yang menguruskan hal ehwal HMI disamping menjadikan tempat rujukan dan nasihat yang melibatkan hukum dan fatwa.  Khidmat kaunseling syarie pesakit dan staf juga disediakan selain daripada kemudahan pengurusan kit jenazah dan audit Islam dalam pergerakan/fungsi institusi perubatan  seperti prosedur atau kebebasan  memilih rawatan.

KPI/Pengukur Pencapaian

Orientasi Pesakit di Wad

– Memaklumkan arah kiblat

– Memaklumkan peralatan dan surau/ruang solat serta perkhidmatan HMI kepada pesakit beragama Islam

Latihan kepada semua lapisan anggota yang terlibat (‘Sokongan Rohani Kepada Pesakit’)

Kajian Kepuasan Pelanggan “Sokongan Rohani Kepada Pesakit’

CARTA JAWATANKUASA