/* */

Senaman Ringan

Category: Tips Kesihatan

Mencari masa untuk bersenam dengan bayi mungkin begitu sukar pada awalnya. Ibu juga mungkin tidak bertenaga kerana kurang tidur dan perlu menyusukan bayi.

Namun, tahukah anda memilih senaman ringan selepas melahirkan bayi membantu meningkatkan mood dan memulihkan badan selepas mengharungi tempoh mengandung serta bersalin sebelum ini?

Pada masa sama, bersenam juga membantu mengembalikan berat badan ideal selain memberikan tubuh segar, bertenaga dan menerbitkan perasaan gembira.

Senaman yang dilakukan secara konsisten juga membantu mengurangkan gejala kemurungan selepas bersalin. Gabungan rutin senaman dan pemakanan sihat cara terbaik untuk mengurangkan berat badan selepas bersalin secara beransur-ansur.

Bersenam di rumah

Senaman tidak perlu membabitkan banyak aktiviti yang memenatkan terutama di peringkat awal. Cuba beberapa senaman regangan yang ringan dan teruskan membuat senaman lantai pelvis.

Senaman ini mudah dilakukan ketika bayi sedang bermain sendirian atau tidur. Selain itu, ia juga tidak memerlukan sebarang alat khas. Boleh teruskan dengan senaman regangan dan kemudian tambah pergerakan yang lebih pelbagai asalkan anda sudah mendapatkan nasihat daripada doktor.

Membuat beberapa aktiviti ringkas sama faedahnya dengan satu sesi senaman yang panjang. Justeru, buatlah senaman mudah yang boleh dilakukan setiap hari.

Secara beransur-ansur, tingkatkan sesi senaman apabila anda selesa melakukannya. Tempoh yang dicadangkan bagi orang dewasa untuk aktif sekurang-kurangnya 30 minit sehari dan lima kali seminggu.

Bersenam di luar rumah

Sesekali tukar angin dengan melakukan senaman di luar rumah bersama bayi. Anda boleh memilih bentuk senaman paling mudah seperti berjalan sambil menyorong kereta sorong bayi.

Keluar dari rumah juga boleh membantu meningkatkan mood positif di samping memberi pengalaman baru kepada bayi dengan pemandangan berbeza.

Jika perlukan motivasi dan semangat, berjalanlah bersama rakan atau sertai kelas kecergasan selepas bersalin. Aktiviti baru itu juga dapat menambah kenalan baru.

Ada bukti yang mencadangkan penyertaan kelas seperti ini dapat melawan perasaan terasing yang biasa dialami ibu baru dan dapat membantu mengelakkan kemurungan selepas bersalin.

Apabila bayi sudah besar sedikit, bolehlah berjoging dengan si kecil dalam kereta sorong khas. Namun, jika ingin berbasikal, pastikan bayi sudah berusia sekurang-kurangnya lapan bulan atau mampu duduk tegak sebelum boleh meletakkannya di tempat duduk bayi. Ini kerana leher bayi yang lebih muda masih belum kuat menyokong kepala mereka dan juga topi keledar keselamatan.

 

Sumber :Hmetro (Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 6:05 AM)