/* */
91954935-hfmd-children-infected-hand-foot-and-mouth-disease-cartoon-vector-illustration

Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut / Hand, Foot and Mouth Disease (HFMD)

Category: Tips Ubat

Penyakit tangan, kaki dan mulut, yang juga dikenali sebagai Hand, Foot and Mouth Disease (HFMD) adalah penyakit yang sering berjangkit di kalangan kanak-kanak terutama kanak-kanak di bawah umur lima tahun. Jangkitan ini biasanya disebabkan oleh amalan kebersihan diri yang kurang baik dan pendedahan kepada tempat atau persekitaran yang sesak yang akan meningkatkan lagi risiko penyebaran virus ini kepada kanak-kanak.

Penyakit HFMD ini adalah disebabkan jangkitan virus yang dikenali sebagai enterovirus yang meliputi Coxsackie Virus A16 (Coz a16) dan Enterovirus 71 (EV71).

Ia merebak melalui sentuhan langsung pada permukaan objek atau alatan permainan yang dicemari dengan virus ini, air liur, cecair hidung, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit.

 

Simptom

Pesakit yang dijangkiti akan menunjukkan satu atau lebih tanda seperti demam, luka (ulcer) di mulut, ruam atau lepuh di tapak tangan dan kaki. Kanak-kanak juga mungkin mengalami simptom lain seperti muntah, cirit-birit dan kurang selera makan. Penyakit HFMD selalunya menyebabkan jangkitan ringan dan sembuh dengan sendiri. Namun begitu, segelintir jangkitan HFMD yang disebabkan oleh jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi yang teruk seperti radang otak dan jantung.

Hand_foot_and_mouth_disease_on_child_feet   hfmd

Rawatan

Penyakit HFMD selalunya sembuh dengan sendiri tanpa rawatan menggunakan ubat-ubatan dalam tempoh seminggu atau lebih. Namun begitu, pesakit HFMD yang mengalami komplikasi serius perlu menerima rawatan intensif.

Kes kematian disebabkan oleh jangkitan penyakit HFMD jarang berlaku. Sebenarnya, tiada rawatan khusus untuk jangkitan penyakit HFMD. Yang penting, ibu bapa atau penjaga haruslam memastikan kanak-kanak meminum air yang secukupnya bagi mengelakkan gejala dehidrasi berlaku.

Rawatan yang diberikan hanyalah untuk mengurangkan simpton kepada pesakit.

Sebagai contoh, ubat demam seperti paracetamol boleh diberikan kepada pesakit untuk mengurangkan demam dan sebagai ubat tahan sakit sekiranya pesakit mengalami simptom sakit-sakit badan dan sebagainya.

Gel mulut boleh digunakan untuk mengurangkan rasa pedih di bahagian ulser dalam mulut. Ruam di bahagian tapak tangan dan kaki tidak memerlukan rawatan sekiranya pesakit tidak mengalami simptom gatal.

 

Pencegahan

Bagi memastikan keberkesanan langkah-langkah kawalan dan pencegahan yang diambil, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengingatkan orang ramai bahawa:

1. Langkah pencegahan terbaik adalah menjaga kebersihan diri dan persekitaran. Penularan jangkitan HFMD sangat berkait rapat dengan amalan kebersihan diri dan persekitaran di mana ia mudah berlaku di tempat sesak serta mutu kebersihan yang rendah.

2. Ibu bapa atau penjaga perlu membawa kanak-kanak yang mempunyai simptom-simptom HFMD untuk mendapatkan rawatan dan tidak membawa kanak-kanak tersebut ke tempat awam termasuk sekolah dan pusat jagaan kanak-kanak.

3. Pengurus pusat jagaan kanak-kanak perlu menjalankan aktiviti pembersihan premis dan saringan terhadap kanak-kanak di bawah jagaan mereka sepertimana yang disarankan dalam‘Garis Panduan Pengendalian Kanak-Kanak di Taska dan Prasekolah’ serta ‘Pelan Tindakan Bersepadu Bagi Mencegah Dan Mengawal Penyakit Tangan, Kaki Dan Mulut’. 

Kesemua dokumen rujukan berkenaan boleh didapati melalui laman sesawang KKM di alamat http://www.moh.gov.my.