/* */
Phytosterols 1

Kenali ‘Phytosterol’

Category: Tips Pemakanan

Apakah  Phytosterol?

Phytosterol adalah sterols atau stanols yang terdapat di dalam semua tumbuhan secara semula jadi. Ianya boleh didapati di dalam minyak sayur-sayuran seperti minyak soya, canola dan jagung dan juga hadir dalam kekacang, bijian dan bijirin tetapi dalam kuantiti yang kecil.

 

Apakah manfaat daripada pengambilan phytosterols?

Lebih daripada 20 kajian saintifik telah menunjukkan bahawa pengambilan phytosterol boleh menurunkan tahap LDL-kolesterol dengan efektif. Kajian menunjukkan bahawa pengambilan sebanyak dua (2) gram phytosterol  dapat menurunkan sebanyak 5-10% tahap LDL-kolesterol dalam beberapa minggu sahaja.

Menurut kajian Thomsen et al (2004); sejumlah 138 pesakit yang tinggi kolesterol di dalam darah mengambil susu rendah lemak yang mengandungi 1.2 gram dan 1.6 gram phytosterol untuk empat (4) minggu didapati berjaya menurunkan tahap LDL kolesterol mereka sebanyak 7-9%.

 

Bagaimana phytosterol bekerja dalam badan kita?

Phytosterol mempunyai struktur yang hampir sama dengan kolesterol. Justeru itu, phytosterol dapat mengurangkan penyerapan kolesterol di dalam usus dan meningkatkan perkumuhan dari badan kita. Dengan itulah, phytosterol dapat mengurangkan tahap jumlah kolesterol dan LDL-kolesterol.

 

Adakah phytosterol selamat?

Secara amnya, phytosterol adalah selamat dimakan kerana banyak kajian saintifik telah dilakukan ke atasnya dan telah diluluskan untuk penggunaan dalam makanan. Walaubagaimanapun, ada satu kerisauan dengan penggunaan phytosterol iaitu ianya mungkin akan mengurangkan penyerapan vitamin-vitamin yang larut dalam lemak terutama beta-karotene (penting untuk penghasilan vitamin A) tetapi, kita boleh mengatasinya dengan pengambilan diet seimbang yang kaya dengan sayur-sayuran dan juga buah-buahan.

Namun begitu, Phytosterols secara amnya tidak digalakkan untuk kanak-kanak dan juga wanita yang hamil atau sedang menyusukan bayi.

 

Apakah sumber makanan phytosterol?

Walaupun phytosterol terdapat secara semulajadi dalam makanan, ia adalah mustahil untuk mendapat kuantiti yang mencukupi untuk mengurangkan kolesterol dari makanan yang kita ambil seharian. Sehubungan itu,  Phytosterol telah ditambahkan dalam pelbagai bahan makanan termasuklah susu yang telah diperkayakan di Malaysia. Kebanyakan pihak berkuasa kesihatan menyarankan pengambilan phytosterols sebanyak 2-3 gram sehari daripada pelbagai makanan yang telah diperkayakan untuk menurunkan tahap kolesterol dalam darah.

 

Disunting oleh:

Eliza Wong Yen Sim

Sumber penulisan:

Kementerian Kesihatan Malaysia & Malaysian Dietitians’ Association