/* */
Pegawai Farmasi sedang memberi penerangan tentang ubat semasa MTAC Warfarin

Perkhidmatan Medication Therapy Adherence Clinic (MTAC)

Category: Tips Ubat

Pengenalan

Medication Therapy Adherence Clinic atau MTAC ialah perkhidmatan penjagaan ambulatori yang tawarkan oleh pegawai farmasi terlatih kepada pesakit di hospital ataupun klinik kesihatan.

Objektif utama perkhidmatan ini diwujudkan ialah untuk:
• Meningkatkan pemahaman pesakit terhadap ubat-ubatan yang diambil
• Meningkatkan kepatuhan pesakit terhadap pengambilan ubat

Jenis-jenis Perkhidmatan MTAC
Perkhidmatan MTAC ditawarkan kepada pesakit sekiranya pesakit memerlukan penerangan dan panduan lebih terperinci berkaitan pengambilan ubat-ubatan agar penyakit dapat dikawal dan mencapai sasaran yang telah ditetapkan. Hanya pesakit yang memenuhi kriteria tertentu akan di rekrut mengikut jenis MTAC yang bersesuaian.

Sehingga Disember 2013, terdapat 13 jenis MTAC yang telah diiktiraf di peringkat Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia dan di tawarkan kepada pesakit di fasiliti KKM. 13 jenis MTAC tersebut adalah diabetes mellitus, respiratori, warfarin, hemofilia, strok, rheumatoid arthritis, psoriasis, psikiatri, geriatrik, penyakit retroviral, transplan renal, chronic kidney disease dan dialisis.

Aktiviti yang dijalankan didalam perkhidmatan MTAC merangkumi sesi pertama (pesakit direkrut) dan beberapa sesi susulan. Umumnya, pesakit perlu mengikuti sekurang-kurangnya 4 sesi MTAC untuk memastikan keberkesanan perkhidmatan ini.

Pesakit akan diberi kaunseling dan khidmat nasihat berdasarkan modul-modul tertentu yang telah ditetapkan mengikut jenis MTAC dan disesuaikan mengikut keperluan setiap pesakit.

Bagaimana Perkhidmatan MTAC dijalankan?

Sesi pertama:

• Pegawai farmasi akan menemubual pesakit tentang sejarah penyakit dan sejarah pengubatan pesakit.
• Pengetahuan umum pesakit tentang penyakit dan ubat-ubatan juga akan dinilai. Ini adalah penting bagi membolehkan pegawai farmasi mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh pesakit dan komponen yang perlu diberi perhatian semasa sesi MTAC seterusnya.

Sesi kedua dan seterusnya:

• Memberi penerangan umum mengenai penyakit yang dihadapi, penerangan terperinci berkaitan ubat-ubatan yang dipreskrib, kepentingan mematuhi pengambilan ubatan untuk mengawal penyakit serta perkara-perkara lain yang boleh dilakukan dan diamalkan untuk mengawal penyakit.

• Perbincangan berkaitan keputusan ujian makmal dan sasaran yang perlu dicapai.

• Pesakit juga akan dibantu tentang kaedah-kaedah yang sesuai untuk memudahkan mereka mengambil ubat-ubatan yang telah dipreskrib. Perkara ini juga merupakan salah satu elemen penting dalam memastikan ubat diambil secara berterusan.

• Masalah berkaitan ubat-ubatan yang dihadapi oleh pesakit juga akan dikenalpasti; contohnya, kesan sampingan ubat-ubatan atau ketidaksesuaian ubat. Setelah masalah dikenalpasti, pegawai farmasi akan berbincang dengan doktor bagi menyelesaikan masalah tersebut. Ini membolehkan tindakan yang sewajarnya diambil (contohnya seperti pengubahsuaian dos ubat, pertukaran jenis ubat dan sebagainya) untuk mengelakkan masalah itu berlarutan.

Bagaimana untuk mendapatkan perkhidmatan ini?
Untuk makluman, perkhidmatan ini diberikan tanpa sebarang bayaran tambahan. Hampir kesemua klinik kesihatan dan hospital di dalam Kementerian Kesihatan Malaysia ada menawarkan perkhidmatan MTAC diabetes mellitus.

Manakala bagi MTAC lain, ia akan ditawarkan di sesebuah fasiliti berdasarkan keperluan dan disiplin kepakaran di fasiliti berkenaan. Pesakit perlu berhubung dengan pegawai farmasi di fasiliti tersebut untuk mengetahui tentang perkhidmatan MTAC yang ditawarkan.

Setiap MTAC mempunyai kriteria pemilihan pesakit yang tertentu. Contohnya, kriteria pesakit bagi MTAC Diabetes adalah:

• Pesakit yang mempunyai bacaan HbA1c melebihi 8%
• Pesakit yang mempunyai masalah kepatuhan kepada pengubatan
• Pesakit yang mempunyai masalah dengan ubat-ubatan
• Pesakit yang mengalami banyak komplikasi penyakit
Doktor atau anggota kesihatan lain boleh merujuk pesakit ke perkhidmatan MTAC berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.

 

Pegawai Farmasi sedang memberi kaunseling semasa MTAC respiratori kepada pesakit
Pegawai Farmasi sedang memberi kaunseling semasa MTAC respiratori kepada pesakit

 

Hospital Sultan ismail ada menawarkan beberapa Perkhidmatan MTAC seperti:

  • Diabetes Mellitus
  • Warfarin
  • Respiratori
  • Penyakit retroviral
  • Psoriasis

Diharap informasi tentang MTAC ini memberi input yang berguna kepada anda semua :)

Kami Sedia Membantu,

Sekian, Terima Kasih.