Fakta Yang Perlu Anda Tahu Mengenai GARAM

Category: Tips Kesihatan

Pada tahun ini World Action On Salt and Health (WASH) telah menetapkan bahawa Minggu Kesedaran Garam Sedunia akan disambut pada 20 hingga 26 Mac 2017. Tema tahun ini adalah “Garam, Pembunuh Senyap” (Salt The Forgotten Killer).
Tanpa disedari, garam boleh meningkatkan risiko kematian pramatang. Pengambilan garam berlebihan boleh meningkatkan risiko penyakit hipertensi. Hipertensi yang tidak terkawal akan menyebabkan penyakit jantung dan strok, dan seterusnya boleh menyebabkan kematian. Dengan pengurangan pengambilan garam, risiko kematian pramatang dapat dikurangkan.
Kajian pada tahun 2015 (MySalt Study) di kalangan anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan purata pengambilan garam adalah sebanyak 7.15 gram (atau 2.9 gram sodium) sehari. Kajian ini adalah sebagai proksi yang menunjukkan tahap pengambilan garam dalam populasi rakyat Malaysia. Pengambilan ini adalah hampir dua kali ganda berbanding saranan WHO iaitu 5 gram garam sehari.

2017-03-22-PHOTO-00000061

Kajian ini juga mendapati makanan bermasak seperti nasi goreng, telur dadar, nasi lemak, roti canai, mee goreng) serta sos dan perisa masakan merupakan penyumbang utama kepada pengambilan garam yang tinggi. Malaysian Adults Nutrition Survey (MANS, 2014) juga mendapati kicap soya merupakan antara 10 makanan utama yang diambil oleh rakyat Malaysia setiap hari. Masih banyak makanan di Malaysia yang tinggi garam walaupun ianya tidak berasa masin dan tidak sepatutnya berasa masin. Usaha yang berterusan adalah amat penting untuk memastikan rakyat tidak terdedah kepada makanan yang tinggi garam. Salah satu strategi pengurangan garam yang dijalankan oleh pihak KKM adalah bekerjasama dengan industri makanan untuk reformulasi produk makanan bagi menurunkan kandungan garam. Sehingga kini, terdapat 46 produk makanan dari pelbagai kategori termasuk mee segera, serbuk/kiub perasa, sos, biskut, makanan ringan, daging beku, dressing, teh dan minuman 3 dalam 1 telah dikurangkan kandungan garam berbanding formulasi asal.
Walaupun jumlah dan kategori produk yang dikurangkan kandungan garam ini masih rendah berbanding jumlah produk makanan yang ada, namun usaha ini tidak mustahil dan perlu terus dipertingkatkan lagi. Pihak industri makanan diminta untuk lebih proaktif dan tampil bekerjasama di dalam mereformulasi lebih banyak produk makanan mereka. Usaha yang lebih agresif oleh pihak industri adalah sangat penting bagi memastikan rakyat mendapat lebih banyak pilihan makanan yang rendah garam sebagai pilihan yang lebih sihat, dan seterusnya membantu mengurangkan pengambilan garam.
Sempena sambutan Minggu Kesedaran Garam Sedunia 2017, semua rakyat Malaysia diseru untuk lebih peka terhadap pengambilan garam harian dengan mengambil langkah–langkah seperti berikut:
i. Kenali produk makanan yang tinggi garam dengan membaca label sebelum membeli makanan. Pilih makanan yang dilabelkan “kurang sodium”, “rendah garam”, “sangat rendah garam”atau bebas garam”.
ii. Kurangkan penggunaan kicap, sos, taucu, kiub dan serbuk perasa dalam penyediaan makanan.
iii. Gunakan perencah asli dan rempah ratus sebagai pengganti garam seperti limau nipis, lada hitam, jintan manis dan sebagainya dalam masakan.
iv. Kurangkan pengambilan makanan tinggi garam seperti telur masin, ikan masin, sayur jeruk, snek masin dan makanan diproses seperti mee segera, makanan segera dan makanan dalam tin.
v. Jalani saringan kesihatan termasuk pemeriksaan tekanan darah sekurang-kurangnya sekali setiap tahun, untuk mengetahui tahap risiko anda.
vi. Amalkan cara hidup sihat setiap hari seperti melakukan senaman, makan secara sihat, tidak merokok ,sihat tanpa alkohol dan belajar menangani stress .
Semoga segala usaha kita untuk mengurangkan pengambilan garam ini dapat membantu mencegah dan mengawal penyakit hipertensi dan komplikasinya, dan seterusnya mengurangkan kematian pramatang di kalangan rakyat Malaysia